2 rakyat Malaysia didakwa di mahkamah Guantanamo esok

2 rakyat Malaysia didakwa di mahkamah Guantanamo esok

DUA suspek pengganas rakyat Malaysia di penjara Guantanamo Bay, Cuba bakal dihadapkan ke mahkamah esok atas tuduhan terlibat dalam kejadian pengeboman maut di Indonesia lebih 19 tahun lalu. 

Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin ditahan dalam penjara tersebut sejak 2006, bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman atau dikenali sebagai Hambali, lapor Utusan Malaysia. 

Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera Amerika Syarikat (AS) ketiga-tiga suspek itu dijadualkan dihadapkan ke mahkamah tentera di Guantanamo pada Februari lalu namun ditangguhkan susulan Covid-19. 

Berdasarkan dokumen pertuduhan dimuat naik pejabat itu, Nazir dan Farik berdepan sembilan pendakwaan manakala Hambali pula lapan tuduhan berhubung peranan mereka dalam serangan pengganas di Bali pada 2002 dan Jakarta pada 2003. 

Ketiga-tiga suspek itu didakwa atas tuduhan melakukan konspirasi, percubaan membunuh, membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan anggota badan yang serius, keganasan, merosakkan harta benda dan menyerang orang serta objek awam. 

Pihak berkuasa AS memaklumkan, kesemua tuduhan tersebut tidak membawa hukuman mati. 

Pada 2003, ketiga-tiga suspek itu ditahan di Thailand dan dihantar ke rangkaian penjara Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada September 2006. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

Komen