6 mat rempit ditahan, 52 individu langgar SOP dikompaun

ENAM ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya, manakala 52 individu lagi dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Ops Samseng Jalan Raya di sekitar Kuantan, malam tadi.

Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu, sebanyak 78 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Kejayaan operasi berkenaan dikongsi di Facebook Polis Trafik Kuantan yang turut memaklumkan lapan motosikal disita, termasuk dua motosikal yang ditinggalkan selepas penunggangnya melarikan diri.

“Pada 28 Ogos, sepasukan pegawai dan anggota polis dari BSPT Kuantan yang diketuai oleh Inspektor Faizal Basri bersama tujuh anggota telah menjalankan operasi di beberapa lokasi sekitar daerah Kuantan bagi mencegah aktiviti samseng jalanan.

“Dalam operasi ini, 78 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, dan enam lelaki ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

“Lapan motosikal disita dan dua penunggang melarikan diri ke dalam hutan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT),” menurut perkongsian itu.

Sementara itu, 52 individu yang dikompaun adalah kerana melakukan kesalahan keluar tanpa sebab dan alasan yang munasabah.

Kesemuanya, dikompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights