DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Perdana Menteri berkata selepas melihat sendiri eksesais Para Predator pasukan elit 10 Briged Para semalam, beliau amat berbangga dengan keupayaan pasukan tersebut.
Katanya, Malaysia mempunyai pasukan elit yang sangat cekap dan bersemangat tinggi dalam menjaga negara daripada sebarang ancaman.
“Sempena Bulan Kemerdekaan ini, kita memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa ATM sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam beliau mengadakan lawatan ke Eksesais Para Preadotor di kawasan am Bera, Pahang.
Dalam hantaran berasingan, Ismail Sabri menegaskan bahawa Tentera Darat Malaysia merupakan benteng pertahanan utama dalam menjamin kedaulatan negara.
Katanya, dalam memastikan kesiagaan benteng pertahanan negara berada pada tahap yang tinggi setiap masa, latihan ketenteraan hendaklah dijadikan teras utama.
“Latihan ketenteraan seperti ini juga mampu mensimulasikan gerakan kemaraan dengan disokong pelbagai jenis aset tempur.
“Ini dapat memberikan gambaran sebenar kesiagaan dan keupayaan aturgerak Tentera Darat Malaysia sentiasa berada dalam keadaaan siap sedia dalam menghadapi apa jua ancaman,” katanya. – Malaysiapost