JPJ Selangor tawar diskaun saman 70% sehingga 16 September

JPJ Selangor tawar diskaun saman 70% sehingga 16 September

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menawarkan diskaun 70 peratus berserta cenderahati kepada orang ramai yang melangsaikan pembayaran kompaun bermula 18 Ogos hingga 16 September ini.

JPJ Selangor menerusi satu kenyataan berkata, kedua-dua tawaran itu adalah bersempena Hari Kebangsaan yang ke-64.

“Sepanjang tempoh Bulan Kemerdekaan, JPJ menawarkan pengurangan bayaran kompaun 70 peratus serta memberi cenderahati kepada pelanggan yang menjelaskan bayaran kompaun bermula 18 Ogos sehingga 16 September 2021 mengikut terma dan syarat ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPJ Selangor turut melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 anjuran Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Selangor dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Selangor pada 2 September 2021.

JPJ Selangor memaklumkan, sambutan itu melibatkan semua cawangan dan Stesen Penguatkuasa JPJ negeri bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Sesi perlepasan kenderaan penguatkuasa JPJ Selangor sebagai simbolik pelancaran Hari Kebangsaan Peringkat JPJ Negeri Selangor disempurnakan Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib.

“Selain itu, Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Kebangsaan juga diadakan selepas sesi pelepasan kenderaan awam pelanggan yang hadir berurusan.

“Advokasi ini bertujuan memberi nasihat dan kesedaran tentang keselamatan jalan raya serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19,” jelasnya.- Malaysiapost

Kredit Foto: Sinar Harian

Komen