Kongsi data untuk bantu golongan dikuarantin di rumah

BEKAS Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, mencadangkan agar data mengenai golongan yang dikenakan kuarantin di rumah akibat Covid-19 dikongsi antara kementerian berkaitan bagi memudahkan bantuan disalurkan segera.

Veteran Umno itu berkata, ketika ini golongan berkenaan seperti diabaikan terutama dari segi barang keperluan harian terutama mereka yang tidak berkemampuan.

“Alangkah baiknya kalau Kementerian Kesihatan (KKM) melalui klinik-klinik kesihatannya berkongsi data golongan yang diperintah untuk kuarantin di rumah dengan Kementerian Kebajikan.

“Apabila dua kementerian ini berkongsi data, mereka yang berkuarantin di rumah boleh mendapat barang keperluan untuk tempoh kuarantin dari Jabatan Kebajikan.

“Buat masa ini, mereka yang dikenakan perintah kuarantin ditinggalkan begitu sahaja. Sudahlah tak boleh keluar rumah untuk membeli-belah, tidak tahu pula kalau mereka mempunyai keupayaan kewangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, di Johor Bahru sahaja hampir 400 isi rumah yang berkuarantin dibantu dengan bekalan barang-barang keperluan oleh badan dan pemimpin masyarakat.

“Kerana tiada perkongsian data di antara badan-badan kerajaan, masyarakatlah yang mengambil tanggungjawab.

“Sebab itu, memerangi Covid-19 tidak boleh diuruskan hanya dari pusat, tetapi perlu kepada penyelarasan di pusat dan dilibatkan jentera di bawah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights