Lajim Ukin meninggal dunia akibat Covid-19
PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Lajim Ukin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Sabah awal pagi tadi akibat jangkitan Covid-19.
Perkara itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong yang memaklumkan menerima panggilan daripada pihak hospital pada 6.23 pagi.
Berita mengenai pemergian Allahyarham yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, turut dikongsi di laman Facebook AIM.
“Seluruh warga kerja dan Sahabat AIM menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang telah pulang ke Rahmatullah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa,” menurut perkongsian itu.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kampung Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan.
Allahyarham yang berusia 66 tahun disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital sejak 13 Ogos sebelum mula ditidurkan pada jam 2 petang, 24 Ogos lalu.
Beliau turut menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung, buah pinggang dan darah tinggi.
Allahyarham pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (2008-2009) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2009-2012).
Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Beaufort (2009-2012) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias serta pernah menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah ketika menyertai PKR. – Malaysiapost