AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui berasa lega sebaik mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun bekas menteri di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) berkata beliau akan terus memberi pandangan serta membantu Umno bila-bila masa.
“Keahlian saya seumur hidup, walaupun tidak lagi menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahli Parlimen atau ketua bahagian, tapi pada bila-bila masa pandangan dan bantuan saya terbuka kepada Umno.
“Perasaan saya lega (selepas umum untuk bersara), bagaimanapun sebagai pemimpin bertanggungjawab, kita tak boleh tinggal parti kita. Dah umum, cabut.. bukan begitu, sebaliknya menyediakan perancangan untuk cari pengganti kita.
“Kini sudah berlaku peralihan di peringkat atas begitu juga di peringkat bawah perlu lakukan perubahan supaya yang akan naik jadi Ahli Parlimen dan ketua bahagian daripada generasi muda,” katanya ketika ditemui di ibu negara semalam.
Mohamed Nazri semalam mengumumkan mahu bersara daripada politik, seterusnya memberi peluang kepada pemimpin baharu.
Serentak itu, beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas yang dimenangi enam penggal berturut-turut pada PRU15 akan datang.
Mengulas lanjut keputusannya itu, Mohamed Nazri berkata sejak jadi Ahli Parlimen pada tahun 1995, setiap minggu beliau akan pulang ke Padang Rengas untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau menjelaskan, jawatan yang dipegang sejak berkecimpung dalam politik bukanlah suatu kemegahan, sebaliknya suatu tanggungjawab yang perlu dilunaskan.
“Saya juga ketua bahagian, jadi selepas ini tak ada tekanan untuk sentiasa berada di kawasan… sekarang Covid-19, saya tetap kena balik sebab saya Ahli Parlimen dan ketua bahagian walaupun program tak ada.
“Justeru, saya rasa lega kedua-dua jawatan dilepaskan, jadi lepas ni tak ada rasa bersalah kalau tak balik,” katanya. – Malaysiapost