PEMULIHAN ekonomi tidak boleh tertumpu 100 peratus terhadap bantuan kewangan kepada pengguna tanpa intervensi sesuai kepada usahawan dan peniaga(PKS).
Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan bagaimanapun berkata beliau kurang bersetuju cukai barang dan perkhabaran (GST) diperkenalkan semula pada saat ini.
Katanya, walaupun pada kadar rendah dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pengenalan semula GST akan menyebabkan kos diturunkan kepada pengguna walaupun is cukai lebih telus dan membantu perniagaan PKS menuntut cukai input.
“Kalau GST tidak dimansuhkan dahulu, isu ini tak berbangkit. Tetapi apabila telah dimansuh, kemudian perkenal semula, akan ada kesan kos peralihan yang mampu memberi kesan kepada pengguna. “Timing” tidak sesuai.
“Intervensi tidak boleh mencederakan tahap kepenggunaaan pada ketika belanja pengguna masih rendah berbanding sebelum Covid-19.
“Bukan sahaja ia akan merencat perbelanjaan oleh pengguna malah tidak akan menambah hasil yang signifikan kepada kerajaan. Setelah ekonomi pulih, barulah sesuai kita melihat semula pelaksanaan GST,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) yang menyarankan agar Kabinet baharu memfokuskan usaha bukan hanya kepada segmen pengguna tetapi juga perniagaan khususnya PKS.
Antara beberapa cadangan SAMENTA untuk dipertimbangkan bagi membantu aliran tunai PKS termasuk pengurangan cukai korporat untuk tahun taksiran 2021 dan 2022, pengecualian dan pengurangan bayaran ke Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) serta menggantikan SST dengan GST pada kadar empat peratus.
Shahril berkata cadangan lain dari SAMENTA boleh dipertimbangkan seperti pengurangan sumbangan levi HRDF kerana tahap kewangan agensi itu dilihat masih baik dengan dana dari kerajaan, di samping sumbangan dari syarikat lebih besar yang mencatat keuntungan. – Malaysiapost