PROGRAM jangkau luar atau ‘outreach’ vaksinasi Covid-19 amat penting bagi meluaskan capaian vaksinasi terutama bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun jumlah penduduk yang divaksinasi melalui program itu kecil, ia penting bagi melengkapkan capaian vaksinasi golongan rentan di seluruh negara.
“Lawatan rumah ke rumah melalui program ‘outreach’ ini amat penting bagi meluaskan capaian vaksinasi. Selain daripada pesakit, penjaga mereka juga diberikan vaksinasi.
“Ini bagi memastikan perlindungan yang menyeluruh bagi golongan rentan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi mengenai program berkenaan yang disertainya pagi tadi bersama petugas kesihatan dan sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat di Kampung Sungai Kelambu, Banting.
“Melalui program ‘outreach’ di Kuala Langat, 203 pesakit yang terlantar, warga emas dan OKU menerima dos pertama, manakala 69 orang telah lengkap dua dos vaksinasi.
“Secara keseluruhan jumlah penjaga yang lengkap divaksinasi melalui program ini pula adalah 21 orang,” katanya.
Menurutnya dalam program di Kampung Sungai Kelambu hari ini, terdapat 24 penerima dos pertama vaksin Covid-19 yang terdiri daripada 22 pesakit, warga emas dan OKU serta dua penjaga.

“Terima kasih diucapkan kepada semua petugas kesihatan, sukarelawan, agensi-agensi kerajaan, ketua kampung serta pemimpin masyarakat tempatan yang memberikan kerjasama dalam menjayakan agenda negara ini,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu sidang media semalam memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baharu, Khairy Jamaluddin kini dipertanggungjawabkan mengendali semua program vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19.
Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba pula akan memfokuskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan. – Malaysiapost