Sikap Presiden Umno tidak akan berubah – Zahid

Sikap Presiden Umno tidak akan berubah – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sikap dan pendekatan beliau susulan pertukaran kerajaan tidak akan berubah, terutama mebabitkan isu-isu kepentingan rakyat.

Beliau berkata kepentingan rakyat dan negara tetap menjadi keutamaannya walau dalam apa jua keadaan termasuk selepas pertukaran kepimpinan baharu negara.

“Jawapannya tiada apa yang akan berubah. Tiada apa yang akan berkurangan.

“Kepentingan rakyat dan negara tetap jadi keutamaan walau dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan terus memantau dan membantu sewajarnya termasuk memberi pandangan, nasihat, idea, atau cadangan serta teguran.

“Tujuannya dengan hasrat membantu kerajaan baharu membendung penularan wabak Covid-19, serta memacu kembali ekonomi negara yang terkesan teruk sejak beberapa tahun lalu.

“Begitu juga tentang kebajikan rakyat yang wajib diberi perhatian serius. Lagipun ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu.

“Kita menaruh kepercayaan tinggi kerajaan di bawah Perdana Menteri baharu bersikap terbuka. Insya-Allah Umno dan Presidennya tetap bersama rakyat demi Raja demi Negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen