Wanita maut dirogol, mayat disembunyi bawah katil

SEORANG wanita maut selepas dipercayai dirogol dan diliwat oleh lelaki yang memecah masuk kediamannya di Taman Seruling Emas, Sungai Jawi, Nibong Tebal, semalam.

Mayat mangsa ditemui pada jam 7.20 malam disembunyikan di bawah katil dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan.

Mangsa berusia 40 tahun bekerja sebagai kerani sebuah kilang perabot di Sungai Bakap dan dikatakan tinggal seorang diri di rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dirogol dan diliwat sebelum dibunuh oleh lelaki yang memecah masuk rumahnya.

Menurutnya, kejadian disedari kenalan mangsa berusia 41 tahun yang datang ke rumahnya pada jam 3 petang kerana mempunyai janji temu dengan mangsa.

“Ketika rakan mangsa berada di hadapan rumahnya, dia ternampak seorang lelaki keluar dari rumah mangsa menaiki motosikal. Rakannya itu kemudian menghubungi kakak mangsa bagi memaklumkan perkara itu.

“Kakak mangsa telah menghubungi rakannya untuk memeriksa rumah adiknya. Ketika pemeriksaan dibuat, pintu rumah didapati terbuka sedikit, lalu menghubungi polis untuk pemeriksaan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati rumah dalam keadaan berselerak sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring di bawah katil bilik bawah rumah berkenaan.

“Terdapat saksi iaitu jiran sebelah rumah mangsa mengatakan nampak pergerakan seorang lelaki keluar dengan menaiki motosikal jenis SYM.

“Berpandukan maklumat itu, polis berjaya mengesan suspek dan membuat tangkapan ke atas lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah di Changkat Sungai Jawi tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Chong Chern berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai meminjam motosikal rakannya untuk ke rumah mangsa dan memecah masuk melalui tingkap kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, suspek kemudian dipercayai merogol dan meliwat mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, wang tunai dan loket sebelum keluar dari rumah mangsa.

“Suspek yang mengetahui polis membuat pemeriksaan ke atas rumah mangsa kemudian menyembunyikan diri dan membuang barangan milik mangsa ke dalam sungai.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan saringan Covid-19 diperoleh,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights