YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia pagi tadi.
Istana Negara dalam kenyataan berkata, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama para solihin,” kata kenyataan itu.
Tun Sakaran Dandai yang merupakan bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleneagles pada usia 91 tahun.
Allahyarham yang berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 dari 1995 hingga 2002.
Sebelum itu, Allahyarham pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada 1994. – Malaysiapost