ANGGOTA tentera yang hilang ketika menjalani latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di Bera semalam, masih belum ditemui.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan, berkata insiden berkenaaan melibatkan seorang anggota daripada 10 Briged Para, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para).
TDM berkata, dalam kejadian jam 4.40 petang itu, Mohamad Azrin sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.
“Justeru, TDM telah menggerakkan anggota operasi bagi mencari dan menyelamat namun tiada penemuan sehingga kini,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat (OP SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang dilaksanakan di tempat kejadian jam 4.50 petang, semalam.
“OP SAR ini turut juga dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat.
“Bagaimanapun, pada jam 7 petang hari yang sama, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan OP SAR disambung pada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, sebarang perkembangan tentang kejadian tersebut akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
TDM berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.
Terdahulu, media melaporkan, seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di Bera, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai itu semalam.
Difahamkan, mangsa yang berusia 27 tahun dan berasal dari Kedah terjatuh ke sungai ketika melakukan aktiviti penyusupan serta menyeberang sungai. – Malaysiapost
Kredit Foto: Malaysia Gazette