Kes saman Siti Nordiana 29 September

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, menetapkan 29 September ini untuk perbicaraan kes saman fitnah penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana terhadap lima individu termasuk Lan Solo dan Syura.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi media, selepas selesai prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan secara e-Review.

Katanya, mahkamah menetapkan 29 dan 30 September ini untuk perbicaraan kes itu yang akan diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, lapor Berita Harian.

“Mahkamah mengarahkan plaintif dan defendan memfailkan dokumen praperbicaraan dan pernyataan saksi dua minggu sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Turut hadir pada prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura.

Manakala peguam Nurul Hafidzah Hassan bertindak bagi pihak Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah. – Malaysiapost

Kredit Foto: Oh Bulan

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights