Kestabilan politik, kadar vaksinasi tinggi rangsang pertumbuhan ekonomi – PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi serta meluas menjadi pemangkin untuk negara mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
Beliau berkata, pasaran pelaburan telah menunjukkan kadar pertumbuhan yang amat memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
“Salah satu dari misi utama pihak kerajaan adalah untuk mengembalikan ekonomi negara di landasan yang betul setelah terjejas sebegitu lama akibat pandemik Covid-19.
“Saya yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi dan meluas menjadi pemangkin untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Insha Allah,” katanya menerusi Facebook.
Perdana Menteri berkata, sejajar dengan perkembangan berkenaan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai wakil sektor perindustrian untuk mendapatkan kerjasama pemulihan ekonomi negara.
“Saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelbagai wakil sektor perindustrian, dewan perniagaan dan juga usahawan belia bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost