CUEPACS hari ini menggesa semua Ketua Jabatan mengenal pasti kakitangan masing-masing yang tidak mendaftar atau masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
Presidennya, Adnan Mat berkata, proses mengenal pasti ini perlu dilakukan segera bagi mengetahui punca sebenar mengapa mereka masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Apabila proses mengenal pasti ini dilakukan, Ketua Jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan masing-masing bagi mengetahui masalah yang timbul.
“Input daripada pertemuan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan mereka.
“Dalam masa yang sama maklumat berkaitan kebaikan vaksin boleh berikan jika masih ada yang tidak mendapat maklumat yang tepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS yakin proses ini boleh meningkatkan lagi peratusan penjawat awam divaksin apabila permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan didengari dan diselesaikan oleh ketua jabatan masing-masing.
“CUEPACS mengambil maklum mengenai jumlah 2.2 peratus penjawat awam yang masih tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat rumusan bahawa jumlah 2.2 peratus penjawat awam ini tidak mendaftar disebabkan mereka menolak untuk divaksin.
“Terdapat kemungkinan penjawat awam ini belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya. – Malaysiapost