SEORANG lelaki yang menyamar sebagai polis untuk menyamun warga asing di Bukit Jallil, ditahan polis semalam.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan apabila pasukan polis peronda yang melalui hadapan sebuah apartment di lokasi kejadian terlihat kelakuan suspek dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata suspek dikatakan menahan seorang lelaki warga asing yang sedang berjalan kaki di hadapan Apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Beliau berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum membuat pemeriksaan dan mengambil wang RM150 milik lelaki itu.
“Dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang menjalankan tugas ronda jenayah melihat kejadian lalu menghampiri suspek namun dia melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Suspek juga melanggar beberapa kenderaan orang awam yang berada di laluannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata, anggota polis terus mengejar suspek dengan menaiki motosikal sehingga ke Jalil Link, Bukit Jalil.
“Ketika kenderaan suspek terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat yang sedang merah, suspek diarah untuk keluar dari kenderaan dengan memberikan kata-kata amaran.
“Namun suspek bertindak memandu meluru ke arah anggota polis, menyebabkan polis melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, suspek dapat melarikan diri dengan memandu kenderaannya menaiki pembahagi jalan dan terus memandu melawan arus menuju ke arah Lebuhraya KESAS menghala ke Shah Alam.
“Bagaimanapun, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), IPD Cheras telah membuat risikan dan tangkapan ke atas suspek pada jam 8.50 malam semalam di Taman Sentosa, Klang Selangor,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan
“Suspek berusia dalam lingkungan 43 tahun dan ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine selain memiliki beberapa rekod jenayah dadah,” katanya. – Malaysiapost