“Marilah kita memerdekakan negara dari Covid-19” – PM

“Marilah kita memerdekakan negara dari Covid-19” – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat Malaysia memerdekakan negara dari pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Beliau berkata, sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 ini, seluruh rakyat diharap dapat membulat tekad untuk memulihkan negara.

Katanya, cabaran yang sedang dihadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

“Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, di mana ia menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan laman sosial rasmi, malam ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut juga perlu mengenali sejarah.

“Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

“Yang paling utama ialah mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Justeru, sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik Covid-19 sebagai musuh yang paling utama.

“Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara.

“Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen