Najib cadang ‘recall election’ usaha sekat wakil rakyat lompat parti

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan ‘recall election’ atau pemilihan semula bagi menghalang wakil rakyat melompat parti sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

Selain lebih adil pada pengundi dan parti asal wakil rakyat, Najib menjelaskan cadangan ini lebih relevan daripada mewujudkan akta anti lompat parti dan telah pun diguna pakai oleh beberapa negara Komanwel.

“Pada saya, cara yang paling baik ialah melaksanakan “recall election” ataupun pemilihan semula – seperti diamalkan oleh beberapa negara komanwel lain.

“Di mana ahli parti yang mahu tukar parti atau dipecat parti mereka akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan pilihanraya kecil akan dilaksanakan bagi kawasan parlimen tersebut,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan akta anti lompat parti akan mencetuskan barah kepada sesebuah parti sekiranya wakil rakyat tersebut sudah tidak ada hati lagi untuk bersama dengan parti asalnya.

“Walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta anti-lompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat lagi kot), mengharamkan Ahli Parlimen dari lompat ke parti lain setelah menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya.

“Ianya lebih parah sekiranya ada Ahli Parlimen yang sudah lebih gemar dengan parti lain tetapi terpaksa berada dalam parti sendiri sebab mereka tidak dibenarkan untuk melompat bawah undang-undang.

“Lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka. Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya.

Akta anti lompat parti mula ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin apabila menawarkan pakej merentasi parti dan kerajaan bipartisan kepada pembangkang.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said turut mendesak kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan akta anti lompat parti sebagai usaha terbaru menreformasi institusi Parlimen. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights