Penjara 18 bulan guna wang palsu beli nasi RM5
CUBAAN seorang penganggur menggunakan wang palsu untuk membeli nasi dan rokok akhirnya membawa dirinya merengkok selama 18 bulan di dalam tirai besi.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim, Siti Aminah Ghazali di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini.
Tertuduh, Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, lapor Utusan Malaysia.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Muhamad Fizwan didakwa menggunakan sekeping wang kertas bernilai RM100 yang palsu sebagai tulen untuk membeli sebungkus nasi berharga RM5.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah gerai makan di Beserah.
Dalam pada itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membeli sekotak rokok berharga RM12 di sebuah kedai serbaneka, Indera Mahkota 3.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.30 pagi dan 3.18 petang, 21 Ogos lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika prosedur pendakwaan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan bapa berusia 64 tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Raya Sharifah Nursyuhada Tuan Mamat memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan kepentingan awam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama dan penjara 18 bulan bagi pertuduhan kedua.
Hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap 23 Ogos lalu. – Malaysiapost
