PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia akibat Covid-19, pagi tadi.
Ismail Sabri berkata, beliau berasa amat dukacita apabila mendengar berita pemergian mantan Yang Dipertua Negeri Sabah itu.
“Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah, merangkumi pelbagai aspek terutama sosioekonomi.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan warga Sabah atas kehilangan tokoh pemimpin yang disegani ini. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham serta diampuni segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Terdahulu, Sakaran yang berusia 91 tahun meninggal dunia akibat Covid-19, jam 5.30 pagi tadi.
Allahyarham dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah, selepas dijangkiti virus itu pada 19 Ogos.
Sakaran merupakan Ketua Menteri pertama Umno di Sabah pada 1994, adalah Yang Dipertua Negeri sejak 1995 sehingga 2003 sebelum bersara. – Malaysiapost