PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap rakyat dapat memupuk semangat kebersamaan tanpa mengira batasan bangsa, agama dan kaum untuk bekerjasama memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.
Beliau berkata, semua pihak perlu ada semangat kebersamaan seperti yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh negara.
“Iaitu Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.
“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia.
“Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan laman sosial rasmi, malam ini.
Sehubungan itu, beliau turut berharap hasil kerjasama daripada semua, tahun ini akan menjadi tahun terakhir meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana kemelut melawan pandemik Covid-19.
“Selamat mensyukuri Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-64. Malaysia Prihatin, Dirgahayu Tanah Airku!,” katanya. – Malaysiapost