TIGA Ahli Dewan Negara telah dilantik semula dan mengangkat sumpah untuk penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Mereka ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim.

Rais berkata, pelantikan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong itu, merupakan suatu amanah yang terpikul untuk Ahli Dewan Negara terhadap bangsa, agama dan negara.

“Ia suatu amanah yang terpikul di atas jemala Yang Berhormat sekalian agar dapat dilunaskan khidmat bakti, sumbangan, serta kebertanggungjawaban kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Pelantikan Lian Ker yang berkuatkuasa pada 10 Ogos, pelantikan Razali dan Md Nasir berkuatkuasa 27 Ogos lalu.
Rais turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan semula tiga orang Ahli Dewan Negara yang telah mengangkat sumpah berkenaan.
“Sumpah yang baru sahaja dilafazkan harus dijunjung dan didaulatkan dengan segala upaya agar Perlembagaan negara dan institusi legislatif ini bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi menepati kedudukannya sebagai badan perundangan tertinggi Malaysia, yang harus diberi hormat oleh semua pihak.
“Perlu barangkali saya katakan, berlaku satu lagi peristiwa penting dalam kehidupan YB Senator setelah dilantik menjadi Ahli Senat untuk penggal kedua.
“Dalam keadaan sedemikian erti sumpah yang baru dilafazkan tadi perlu dicerakinkan sebaiknya, terutama dalam aspek menunaikan kewajipan-kewajipan yang sedemikian,” katanya. – Malaysiapost