282 kes kematian akibat Covid-19, Selangor masih penyumbang tertinggi

SELANGOR terus menjadi penyumbang tertinggi kematian Covid-19 iaitu 139 daripada 282 kes kematian harian yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain itu dilaporkan sebanyak 52 kes kematian dicatatkan di Johor, 21 kes di Kuala Lumpur, 15 kes di Sabah, 12 kes di Pulau Pinang, 11 kes di Kedah dan sembilan kes di Kelantan.

Ia diikuti tujuh kes di Pahang, lima kes di Melaka, masing-masing tiga kes di Negeri Sembilan dan Perak, dua kes di Terengganu serta masing-masing satu kes di Perlis, Sarawak dan Putrajaya.

“Kes kematian itu melibatkan 166 lelaki dan 116 perempuan termasuk 44 warga asing dengan 98 kes termasuk 35 warga asing yang dibawa ke hospital selepas meninggal dunia di rumah.

“Seramai 218 pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 20,897 kes berbanding semalam, 19,268 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 18,465 kes dengan 1,005 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) selain 464 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 267,863 kes aktif.

Mengulas mengenai 22 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 11 kluster diikuti lapan kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights