Agong cemar duli sertai operasi mencari tentera lemas

Agong cemar duli sertai operasi mencari tentera lemas

YANG di-Pertuan Agong hari ini mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Bohor Baru, Bera. 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain meluangkan masa menyertai operasi mencari menaiki bot bersama pasukan mencari dan menyelamat. 

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong tiba di pusat operasi di Kampung Bohor Baru pada jam 4 petang sebelum baginda mendengar taklimat mengenai operasi pencarian, lapor Kosmo Online. 

Usaha mencari anggota tentera yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pahang ketika melakukan latihan kelmarin masih buntu apabila mangsa belum ditemukan sehingga kini. 

Operasi yang digerakkan bermula jam 9 pagi tadi melibatkan pencarian secara permukaan sejauh dua kilometer daripada lokasi kejadian selain aktiviti selaman dan penggunaan anjing pengesan. 

Ahad lalu, Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa, 27 yang menjalani latihan taktikal Eksesais Para Predator hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan dekat Kampung Batu Bor, Bera. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu mangsa yang juga anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberang sungai. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo Online

Komen