Azlee Senario sudah 2 kali ikut sesi dakwah Ebit Lew
Nurul Huda Abhar
SEJAK akhir-akhir ini golongan artis seperti Norman Hakim, Zul Ariffin dan Harris Alif dilihat mengikuti sesi dakwah bersama Ustaz Ebit Lew.
Tidak terkecuali, pelawak kumpulan terkenal Senario iaitu Azlee juga bersama-sama pendakwah terkenal itu menyertai misi bantuan dan dakwah ke perkampungan Orang Asli baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ebit Lew memaklumkan Azlee telah dua kali mengikuti misi bantuan kemanusiaan dan mendalami iman bersama ahli kumpulannya.
“Di kampung Orang Asli, Abang Azlee ceriakan orang kampung dengan nasihat yang baik. Baik-baik sangat orang kampung kami pergi.
“Balik sahaja setelah beberapa hari bersama. Abang Azlee kata rindu betul dengan ustaz dan jemaah. Rasa nak ikut sentiasa kerja ini. Bulan ini sahaja dah lapan hari abang beri untuk kerja ini,” kata Ebit menerusi hantaran itu.
Berkongsi pengalaman mengikuti sesi dakwah, Azlee memberitahu Ebit bahawa dia berasa tenang melakukan kerja kemanusiaan dan dalam msa sama mendalami ajaran Islam.
Katanya, pelakon yang terkenal dengan siri komedi Senario itu juga berkongsi bahawa sudah memulakan amalan Talim bersama keluarganya di rumah.
“Rumah kita akan best sangat jika amalan bacaan Al-Quran dan Hadis Nabi SAW setiap hari bersama,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar Azlee Senario berniaga di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh.
Azlee bersama beberapa peniaga bergabung menjalankan pelbagai perniagaan sekali gus berkongsi rezeki.
Dalam hantaran berbeza, Ebit berkata beliau dan Azlee sempat menziarahi peniaga di kawasan tersebut untuk bertanya khabar.
Menurutnya, peniaga di situ rata-rata terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak muda yang kehilanngan pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tak sedar mengalir air mata. Kami berkongsi nasihat dan kata semangat. Ujian kerana kasih sayang dia. Pasti di sebalik ujian ada rahmat Allah,” katanya. – Malaysiapost