PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan menyokong cadangan mewujudkan Akta Anti Lompat Parti seperti dicadangkan Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagaimanapun menurut Ketuanya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, cadangan itu mesti diperhalusi terlebih dahulu dan dilaksanakan menggunakan mekanisme yang tepat.
“Saya amat menyokong penuh saranan Azalina kerana sudah sampai masanya ‘anti hoping law’ diperkenalkan di negara kita.
“Kita harus mengkaji mekanisma yang tepat dan betul untuk memperkenalkan undang-undang tersebut.
“Undang-undang lompat parti ini amat penting untuk mengelakkan mandat rakyat melalui proses pilihan raya dikhianati oleh pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairuddin menjelaskan, Akta Anti Lompat Parti perlu diperhalusi jika ia berlaku terhadap wakil rakyat yang melompat parti kerana parti asalnya dikatakan telah melakukan kesalahan seperti amalan rasuah atau pecah amanah.
“Cuma kita kena kaji kedudukan yang tepat sekiranya seseorang wakil rakyat melompat parti atas dasar prinsip kebenaran.
“Bagaimana pula kedudukannya?? Contohnya sekiranya seseorang wakil rakyat yang mewakili sesuatu parti politik itu melompat parti kerana tidak setuju dengan pendirian partinya yang salahguna kuasa dengan amalan salah laku.
“Seandainya sesebuah parti itu telah rosak dengan amalan rasuah atau apa saja bentuk salahlaku yang mendorongkan wakil rakyat untuk meninggalkan parti yang terlibat dengan salahguna kuasa, adakah wakil rakyat tersebut juga harus dihukum?
“Seseorang wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan pendirian partinya yang korup meninggalkan parti tersebut; bagaimana pula dengan kedudukan wakil rakyat tersebut?” soal Khairuddin.
Bagaimanapun, beliau berharap akta itu dapat diwujudkan segera bagi mengekang pengkhianat politik melakukannya pada masa akan datang.
“Sudah sampai masanya undang-undang tegas dikenakan ke atas semua pengkhianat yang melompat parti atas dasar kepentingan peribadi. Situasi ini amat adil serta tepat.
“Perbuatan melompat parti atas ‘vested interest’ amat tidak bermoral, tidak beretika dan tidak berprinsip,” katanya.
Baru-baru ini, Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan akta anti lompat parti sebagai usaha terbaru mereformasi institusi Parlimen.
- Malaysiapost