KERAJAAN akan merangka Belanjawan 2022 sebagai belanjawan yang inklusif seiring dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata beliau telah menggariskan beberapa perkara penting yang perlu dicapai Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa yang terdekat ini.
Perkara itu katanya, digariskan beliau Di dalam ucapan ringkas di pejabatnya di Putrajaya, selepas mengangkat sumpah jawatan petang semalam.
“Fokus utama ialah memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
“Oleh itu, kita perlu memastikan penyampaian bantuan kerajaan kepada penerima, dan merangka Belanjawan 2022 sebagai belanjawan yang inklusif seiring dengan RMKe-12.
“InsyaAllah, kami di MOF akan terus berkerja keras bagi memastikan kesejahteraan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Tengku Zafrul yang menyambung semula tugas di MOF di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak kerja yang perlu dilakukan bersama dengan pasukannya di kementerian itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tumbalan Menterinya, Mohd Shahar Abdullah yang turut kembali ke MOF serta Timbalan Menteri Kewangan II yang baharu, Yamani Hafez Musa. – Malaysiapost