BARISAN Nasional (BN) menyokong segala kerjasama rentas parti yang bertujuan mengatasi masalah pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara.
Ia antara lima perkara dipersetujui Dewan Tertinggi BN yang mengambil semangat daripada ketetapan Umno dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 27 Ogos lalu.
Dewan Tertinggi BN menerusi kenyataan lewat malam tadi berkata gabungan itu juga menyokong penuh pentadbiran Datuk Seri tsmail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Selain itu, menyokong mana-mana cadangan untuk menambah baik pakej-pakej bantuan yang telah diumum kepada rakyat sebelum ini haruslah diambil serius dan dibuat pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.
“Menyokong terma Keluarga Malaysia digunakan secara meluas bagi menggambarkan pentadbiran secara inklusif dan memupuk persefahaman masyarakat berbilang budaya dan agama serta wilayah.
“Satu Suruhanjaya DiRaja perlu segera diwujudkan bagi menyiasat segala pendedahan dibuat oleh Tommy Thomas berkenaan campur tangan politik dalam Institusi Peguam, Kehakiman dan Keselamatan negara,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam keadaan negara yang sedang bergelut mengatasi Covid-19, krisis ekonomi, pengangguran dan kekangan kewangan rakyat, BN akan memainkan peranan lebih instruktif bagi memastikan segala keputusan dan dasar kerajaan adalah berorientasikan rakyat. – Malaysiapost