Cuti umum merdeka, KJ tetap masuk pejabat

WALAUPUN cuti umum Hari Kebangsaan, Menteri Kesihatan yang baharu, Khairy Jamaluddin tetap memasuki pejabatnya di Putrajaya bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai Kementerian Kesihatan (KKM) diterajuinya.

Pada hari kedua secara rasmi bergelar menteri di kementerian itu, Khairy hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama bersama pengurusan tertinggi KKM.

“Pagi ini mempengerusikan mesyuarat pertama bersama pengurusan tertinggi @KKMPutrajaya bagi mendapatkan gambaran keseluruhan tentang fungsi dan operasi kementerian,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Semalam sebaik selesai istiadat angkat sumpah di Istana Negara, Khairy terus ke Putrajaya untuk melapor diri di KKM.

Beliau tiba di bangunan KKM pada jam 5.15 petang dengan disambut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Khairy memegang portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19 hanya akan dikendalikan KKM melalui Khairy.

Perdana Menteri berkata, MOSTI pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights