FAM batal Piala Presiden, Piala Belia 2021

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan serta-merta pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2021.

Ia selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua pertandingan itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan juga diambil selaras status penganjuran kedua-dua pertandingan yang sehingga kini belum mendapat ‘lampu hijau’ Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, biarpun kadar kes di Lembah Klang menunjukkan penurunan, kes di negeri lain meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus tempoh masa lebih lama diperlukan untuk membolehkan kedua-dua pertandingan berlangsung.

“Selain itu, faktor pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing juga pada tahap agak rendah ketika ini.

“Ia akan memberi risiko bagi keselamatan dan kesihatan pemain jika kedua-dua pertandingan tetap dilangsungkan tahun ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Stuart berkata sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan, malah perlu mengambil kira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat dalam lingkungan di bawah usia 22 dan 19 tahun.

Selain itu katanya, beberapa perkara penting dalam penyediaan SOP masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran telah mendorong FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan.

“Ia keputusan yang berat tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara tidak diingini terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain.

“FAM juga berasakan keputusan ini yang terbaik ketika ini dan pada masa sama ia memberi lebih ruang kepada pasukan untuk membuat persediaan menghadapi pertandingan sama tahun 2022 yang dijangka bermula seawal Februari,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights