Hormati Hari Kemerdekaan, lagu Negaraku berkumandang di Gaza

Hormati Hari Kemerdekaan, lagu Negaraku berkumandang di Gaza

LAGU kebangsaan, Negaraku berkumandang di bumi Gaza, Palestin sempena Hari Kebangsaan yang ke-64 pada hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook Datuk Akmar Hisham Mokhles, beliau berkata rakyat Palestin juga membuat perhimpunan khas pada hari ini.

“Rakyat Palestin siap buat perhimpunan lagi sebagai tanda hormat dan menghargai segala sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia selama ini,” katanya.

Akmar Hisham yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memuat naik video berdurasi 24 saat yang memaparkan perhimpunan di Palestin dan ketika itu lagu Negaraku sedang berkumandang.

Lebih membanggakan, Jalur Gemilang megah berkibar di hadapan perhimpunan yang dihadiri oleh rakyat Palestin itu.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan sebatang jalan di bandar Gaza, Palestin dinamakan sebagai Malaysia Street hari ini.

Berita itu dikongsi di laman Twitter oleh seorang pemuda Palestin dikenali sebagai Muslim Imran dan dia memberitahu bahawa Majlis Perbandaran Gaza bersetuju menamakan sebatang jalan di daerah barat bandar itu sebagai Malaysia Street sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Sebelum itu, turut dilaporkan bendera Malaysia dilihat berkibar di tiang-tiang lampu di sekitar jalan raya bandar Gaza pada hari ini.

Beberapa video dan gambar tular di media sosial memaparkan Jalur Gemilang berkibar di bumi Gaza yang turut sama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada hari ini. – Malaysiapost

Komen