Jangan terpedaya dengan ‘Beauty_Saranghae’

POLIS menahan dua suspek dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan jual beli barangan elektronik melalui akaun Instagram atas nama ‘Beauty_Saranghae’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata setakat ini terdapat 64 kes membabitkan akaun Instagram berkenaan sedang disiasat dengan jumlah kerugian RM153,759.

“Siasatan mendapati modus operandi digunakan sindiket itu adalah dengan mengiklankan pelbagai barangan elektronik pada harga lebih murah berbanding pasaran.

“Pembeli yang berminat kemudian diarah membuat pembayaran ke dalam akaun diberikan. Namun selepas pembayaran, barangan dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya menahan dua suspek berusia 32 dan 53 tahun dipercayai dalang utama kegiatan berkenaan pada 9 Ogos lalu.

“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 2019 hingga semalam, sebanyak 15,785 kes penipuan membabitkan penjualan secara dalam talian direkodkan dengan kerugian lebih RM110 juta.

“Sebanyak 3,512 kes dicatatkan pada 2019 dengan kerugian RM28 juta dan jumlah kes dilaporkan meningkat kepada 5,846 pada tahun lalu membabitkan kerugian RM41.4 juta.

“Bagi tempoh Januari lalu hingga semalam pula, jumlah kes terus meningkat kepada 6,428 dengan kerugian RM41.1 juta,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis menggesa orang ramai lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan dalam talian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights