Kalau anti vaksin sekalipun, jangan sampai tahap jatuh talak- Fizo Omar
PELAKON Fizo Omar kesal terhadap kisah seorang suami yang anti vaksin tergamak melafazkan cerai taklik terhadap isterinya bagi menghalang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Melihat kandungan perbualan mesej yang tular di media sosial, Fizo meluahkan rasa kesalnya susulan masih terdapat golongan suami yang menyalahgunakan kuasa terhadap perkara sebegitu.
“Kalau betullah wujudnya si suami macam ni kan… Abe Joe tak boleh sentuh pasal hukum ni tapi sebagai lelaki, awak salah guna kuasa sebagai seorang suami tu bro.

“Kot ya awak anti vaksin sekalipun, bukanlah sampai tahap jatuh talak bro,” katanya menerusi Instagram sambil memuat naik tangkap layar kisah isteri malang itu.
Terdahulu tangkap layar berkenaan perbualan seorang wanita itu tular di media sosial yang menyentuh kisahnya berkaitan vaksin dan perceraian.
Suami wanita itu dikatakan telah melafaz cerai taklik iaitu terjatuhnya talak jika isterinya mengambil vaksin.
Berdasarkan kandungan mesej yang dikongsikan di akaun Instagram itu, menunjukan wanita itu telah mengambil vaksin dan berbual dengan suaminya mengenai perkara berkenaan.
Selain itu, Fizo berkata, pengambilan vaksin bukan paksaan dan ia hak individu itu sendiri, namun jika boleh memudaratkan orang lain kerana tidak ambil vaksin ia adalah haram di sisi Islam.
“Pasal vaksin ni memang bukan paksaan dan hak individu tu sendiri, tapi saya pernah tanyakan pada ustaz dan jabatan agama.
“Sekiranya kita tak ambil dan keputusan kita itu boleh membahaya dan memudaratkan orang lain, hukumnya haram di sisi agama kita. Itu apa yang saya di beritahulah,” kata Fizo. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram/Fizo Omar