POLIS mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu, sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah merujuk kes itu kepada pejabat pendakwa raya semalam dengan mencadangkan tuduhan lebih tegas terhadap suspek.
“Polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
“Kes ini masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, polis pada mulanya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 326 kanun sama dan suspek didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh kerana menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Kes itu sepatutnya disebut semula pada 9 September ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anaknya menggunakan kolam renang, yang ditutup untuk kegunaan awam pada masa berkenaan.
Beliau menambah, pengawal keselamatan itu meninggal dunia Jumaat lalu dan laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah akibat jangkitan paru-paru. – Malaysiapost