Langkawi dijangka dibuka untuk pelancongan 16 September ini

Langkawi dijangka dibuka untuk pelancongan 16 September ini

LANGKAWI dijangka akan dibuka untuk aktiviti pelancongan pada 16 September ini berikutan kes aktif Covid-19 di pulau peranginan itu masih tinggi. 

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan pulau itu sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan akan bergantung sepenuhnya kepada laporan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas ini. 

“Semalam saya ada mesyuarat khas bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), kita telah memohon nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan JKN untuk memberi panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti pelancongan nanti. 

“Tarikh pembukaan Langkawi bergantung sepenuhnya kepada laporan kemajuan yang akan disediakan JKN, alangkah baiknya jika Langkawi dapat buka 16 September ini iaitu pada Hari Malaysia, ia tentu hari yang baik untuk mulakan gelembung pelancongan,” katanya memetik Harian Metro. 

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan cadangan dan sebarang nasihat daripada agensi berkaitan untuk membolehkan Langkawi dibuka. 

“Kita sudah selesai masalah vaksinasi, cuma sekarang kita perlu pastikan kes harian Langkawi di bawah 10 kes selepas ini. 

“Ini kerana kita sudah membuat persediaan untuk mengadakan 10 perjalanan feri apabila Langkawi dibuka nanti iaitu enam perjalanan dari Kuala Perlis dan empat perjalanan menerusi Kuala Kedah,” katanya. 

Sehingga semalam, Langkawi mencatatkan 70 kes baharu dan masih terdapat 1,081 kes aktif. – Malaysiapost

Komen