Negara belum boleh laung Merdeka dari Covid-19 – MB Selangor

MALAYSIA tidak boleh laungkan kata-kata “Merdeka!” daripada wabak Covid-19 selagi terdapat kes-kes jangkitan yang masih menular di negara ini serta negara-negara lain, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata situasi itu mendesak keperluan untuk semua pihak mengadaptasi sepenuhnya cara dan gerak kehidupan serta menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama-sama dengan ancaman Covid-19 sebagai endemik.

“Menginsafi hakikat itu, kita berada dalam saat terpenting dalam abad ini yang harus difahami dan didalami setiap lapisan masyarakat, daripada peringkat ketua-ketua keluarga dan komuniti sehingga ke tahap pimpinan negara.

“Dan cabaran yang saya maksudkan di sini adalah jurang generasi ataupun ‘generational divide’ yang sedang kita lihat.

“Setiap generasi mempunyai detik ‘kemerdekaan’-nya, dan ditimbulkan sama ada melalui isu, kejadian, situasi ataupun darurat yang mendorong sekumpulan orang untuk berhenti menerima sesuatu situasi dan mula bertindak membetulkan kesilapan yang dilihat serta dialaminya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amirudin berkata secara peribadi, kesedaran beliau untuk menjadi lebih aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara tercetus pada tahun 1998 yang kemudiannya dikenali sebagai Generasi Reformasi.

Generasi itu katanya, bangkit menuntut keadilan akibat berlakunya beberapa insiden melibatkan kuasa negara digunakan secara sewenang-wenangnya bagi kepentingan tertentu.

“Ini disusuli pula dengan Generasi Bersih 10 tahun kemudian yang melihat lahirnya generasi baharu yang menuntut, antara lain supaya meratakan padang sistem pilihan raya.

“Kini, kita berada pada titik pertimbangan itu dan kemuncak lahirnya generasi baharu yang menuntut supaya masa hadapan negara tidak ditentukan hanya oleh mereka yang dilihat sebagai generasi Perang Dingin,” katanya lagi.

Generasi itu, jelas beliau, merasakan bahawa suara mereka tidak didengari pimpinan politik dan negara yang berasaskan sistem hierarki.

Menurutnya, mereka melihat sistem ini didirikan dengan konsep jalan sehala kerajaan kepada rakyat tanpa wujudnya dialog yang sewajarnya.

“Bahasa politik yang digunakan kini dilihat tidak relevan dan tidak menyentuh kepentingan generasi muda kerana lahir dari perasaan yang kurang ikhlas.

“Ini mungkin menolak penglibatan mereka daripada kekal ‘engaged’ menjadi tidak peduli atau ‘disengagement’ malahan mungkin membawa kepada ‘apathy’ ataupun pendirian sinikal.

“Mereka menuntut supaya padang permainan menjadi rata agar medan politik menjadi lebih inklusif, bukan terpaut kepada sistem, pendekatan, komitmen dan kesilapan yang lepas,” katanya.

Amirudin menambah, disebabkan itu Selangor tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak, seperti ke arah menjamin peluang pekerjaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights