PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memberi penjelasan berhubung tindakan Kerajaan negeri melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) Mei lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, Anwar berkata beliau telah meminta Amirudin untuk memberi penjelasan terperinci dalam pertemuan bersama pimpinan PKR esok.
Anwar berkata, beliau telah meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan tersebut yang mendapat bantahan pelbagai pihak.
“Saya juga mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak cadangan tersebut. Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti.
“Malah pimpinan KEADILAN sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut,” katanya.
Semalam, Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian dilaporkan berkata, kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7ha hutan simpan tersebut untuk dibangunkan.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.
Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat.
Ia mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.
Malah usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli. – Malaysiapost