Pingat emas diraih Ziyad dibatalkan

Pingat emas diraih Ziyad dibatalkan

SANGAT mengejutkan apabila dilaporkan pingat emas yang diraih jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dibatalkan selepas oleh protes yang dilakukan oleh kem Ukraine pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum acara mereka bermula.

Menerusi semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter (m).

Protes terbabit menyaksikan apa yang dilakukan Ziyad tidak dikira.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan kemudiannya menyaksikan Ukraine yang melakukan protes berjaya meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.

Susulan itu, catatan dibuat Maksym Koval yang melakukan balingan sejauh 17.34m menjadi rekod dunia, manakala pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi dengan balingan 17.30m.

Gangsa pula menjadi milik atlet Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.

Terdahulu, Ziyad mencatatkan 17.94m pada lontaran ketiganya untuk membolehkan atlet kelahiran Selangor itu memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017. – Malaysiapos

Komen