PM, isteri sambut Hari Kebangsaan secara dalam talian

PM, isteri sambut Hari Kebangsaan secara dalam talian

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang diadakan di Dataran Pahlawan Putrajaya, secara dalam talian.

Ini kerana beliau sedang menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.

Ini juga kali pertama Ismail Sabri menyambut Hari Kebangsaan sebagai Perdana Menteri susulan pelantikannya pada 21 Ogos lalu di Istana Negara.

Beliau menyaksikan sambutan itu secara langsung bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Bertemakan Malaysia Prihatin, Hari Kebangsaan tahun ini disambut sederhana tanpa perarakan atau perbarisan raksasa pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun sambutan tetap diserikan dengan pertunjukan dan persembahan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta beberapa agensi lain secara norma baharu dan berlandaskan prosedur operasi standart (SOP).

Pengisian sambutan ialah nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar, formasi ATM dan badan beruniform.

Antara menteri yang hadir di Dataran Pahlawan Putrajaya ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost

Komen