Rujuk mufti isu suami lafaz talak jika ambil vaksin – Idris Ahmad

“LAFAZ taklik sah? Yang itu kena tanya mufti. Itu bukan bidang kuasa saya.”

“Itu jawapan ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berhubung kes seorang suami sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya kerana mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun Idris berkata, menuntut ilmu agama perlulah daripada guru yang betul.

“Banyak guru yang betul kenapa tak ikut. Kadang-kadang kita mengaji (belajar agama) melalui Google. Boleh tengok, tetapi itu hanya pengukuhan, bukan satu perkara yang kita kata untuk dapat segala-galanya.

“Jadi ini akhirnya (kes suami lafaz taklik sebab isteri suntik vaksin),” katanya memetik Harian Metro.

Beliau mengulas pertanyaan media ketika ditemui pada Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It’am Merdeka Putrajaya 2021 di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, hari ini.

Susulan itu, Idris berkata, golongan ulama sentiasa menyebut jika tiada guru ketika belajar agama, maka gurunya adalah syaitan.

Media hari ini melaporkan seorang lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu itu si isteri iaitu seorang suri rumah kemudian menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook peguam syarie itu, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku kelmarin. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights