SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata perbuatan itu bukan saja melibatkan isu rasuah, malah menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut.
“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan media beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi Covid-19 tanpa disuntik vaksin berkenaan.
Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM juga perlu mewujudkan satu talian bebas untuk orang ramai membuat laporan berkaitan perkara itu.
“MMA amat bimbang dan mengambil serius laporan berkaitan isu berbangkit. Mereka didapati terbabit dalam kegiatan itu perlu didakwa mengikut undang-undang antirasuah.
“Kita juga ingin mengingatkan semua doktor mengenai tugas dan tanggungjawab untuk berpegang kepada etika tinggi sebagai pengamal perubatan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Oh Bulan