Syed Saddiq minta Peja bantu operator padang bola, gimnasium
MENTERI Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diminta membantu operator padang bola sepak dan gimnasium yang sehingga kini terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman susulan ramai operasi dua industri berkenaan gulung tikar akibat kerugian jutaan ringgit.
“Sudah setahun setengah padang bola dan gimnasium ditutup. Kedai makan sudah boleh dine-in, pusat beli-belah sudah buka. Tapi padang dan gimnasium masih tutup?
“Setakat hari ini, sifar kes kluster padang bola dan gimnasium. Tahun lepas saya sudah suarakan di Parlimen. Tapi masih belum ada perubahan yang positif.
“Menteri baru wajib bantu. Buka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat pun tak apa. Asalkan bantu mereka,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimnuatnaik di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata operator padang bola sepak misalnya kerugian RM100,000 sebulan dan kini telah 18 bulan tidak beroperasi.
“Itu belum dikira kos pembinaan padang bernilai RM4 juta. Banyak operator padang bola dan gimnasium gulung tikar dan bankrup. Apa yang kerajaan bantu? (Cuma) one off RM3,000, nak bayar gaji seorang pekerja pun cukup-cukup makan.
“Jadi gunakanlah SOP yang ketat seperti pemain sudah divaksin, tiada penonton dan diadakan secara ‘open air’.
“Sebab itu saya rayu kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru agar simpatilah kepada industri sukan negara, bantulah mereka sebelum terlambat,” katanya lagi. – Malaysiapost