Ziyad hadiah pingat emas ke-2 buat Malaysia

Ziyad hadiah pingat emas ke-2 buat Malaysia

SEJARAH tercipta buat Malaysia apabila jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul pingat emas kedua negara di Temasya Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Lebih manis, atlet berusia 31 tahun memecahkan rekod dunia acara lontar peluru kategori F20 dengan mencatatkan jarak 17.94 meter (m) ketika negara sedang menyambut Hari Kebangsaan ke-64 hari ini.

Dengan kejayaan itu, dia yang diberikan julukan ‘Super Ziyad’ itu turut berjaya mengatasi catatan rekod kebangsaan atlet normal, 17.58m yang dilakukan Adi Alifuddin Hussin pada Sukan SEA 2011.

Dengan mencatatkan 17.94m pada lontaran ketiga membolehkan atlet kelahiran Selangor itu memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.

Terdahulu, atlet tersebut menonjol sejak awal saingan apabila catatan 17.31m pada lontaran pertama telah memecahkan rekod yang dilakarnya di London itu.

Dua atlet Ukraine, Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi cuba memberi tekanan, namun sekadar berpuas hati dengan perak serta gangsa.

Koval melakukan lontaran terbaik sejauh 17.34m, manakala Yarovyi dengan 17.30m.

Emas pertama diraih kontinjen negara di Tokyo menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting. – Malaysiapost

Komen