26 peratus kawasan pulih bekalan air

26 peratus kawasan pulih bekalan air

AIR Selangor memaklumkan sehingga jam 1 tengah hari tadi, pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas akibat henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam, telah mencapai tahap 26 peratus.

Menurut Air Selangor, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 3 September 2021.

“Jadual Pelan Pemulihan bekalan air seperti di www.airselangor.com atau ‘Instagram Instastory’ & ‘Facebook Story’.

“Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan-kawasan terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi kenyataan.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, 61.1 peratus kawasan di Hulu Langat telah pulih bekalan air, di Sepang (43.3 peratus), Putrajaya (17.4 peratus), manakala Petaling dan Kuala Langat belum menerima bekalan air.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih semalam.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan pada jam 7 pagi secara berperingkat kepada pengguna di kesemua kawasan yang terjejas. – Malaysiapost

Komen