YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara, pagi tadi.
Berdasarkan hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, sesi menghadap berlangsung selama 30 minit, bermula jam 8.30 pagi.
“Sesi hari ini juga adalah yang pertama kali bagi YAB Datuk Seri Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” katanya.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu manakala barisan Kabinet mengangkat sumpah jawatan pada kelmarin. – Malaysiapost