Air terawat LRA Sungai Semenyih selamat

AIR Selangor mengesahkan air dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) selamat untuk digunakan.

Menerusi kenyataan terbaharu di Facebook, Air Selangor memaklumkan telah menjalankan ujian kualiti air pada jam 2 pagi tadi, dan mendapati ia mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga telah disahkan selamat oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna,” katanya.

Justeru, Air Selangor menyarankan pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga air bertukar jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih semalam.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan pada jam 7 pagi secara berperingkat kepada pengguna di kesemua kawasan yang terjejas.

Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 3 September. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights