Azalina bawa usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berhasrat membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan. 

Beliau berharap usul itu yang akan dibawa dalam sidang Parlimen 13 September ini, akan menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihan Raya Pecat atau ‘Recall Election. 

“Ramai rakyat mempersoalkan apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak-gadaikan mandat rakyat selepas pilihanraya? 

“Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat. 

“Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah, dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berpendapat persaingan politik perlu dimurnikan, bukan dihapus, ditekan, diisi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan. 

Katanya, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasinya dan lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci. 

“Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya. 

Azalina berkata, beliau berbesar hati dengan perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Blok Pembangkang dan Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti. 

“Walaubagaimanapun, saya ingin menyarankan bahawa bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen (Recall Act) di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka. 

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baharu atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya. 

Beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti antara Ahli-Ahli Parlimen yang berminat. 

“Ini untuk memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights