AHLI Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik semula menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu hari ini.
Menteri Kanan berkenaan hadir ke bangunan MITI pagi ini bersama timbalannya Senator Datuk Lim Ban Hong.
MITI dalam satu hantaran di Facebook, turut berkongsi beberapa gambar Mohamed Azmin yang kembali memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Turut memulakan tugas hari ini selepas dilantik semula sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berjanji seluruh upaya dan masa akan dicurahkannya agar kebajikan wanita, keluarga serta masyarakat sentiasa terbela.
“Banyak saya fikirkan sepanjang perjalanan ke sini, antaranya gerak kerja KPWKM dalam menyempurnakan misi menyantuni golongan sasar.
“Saya sedar, ini bukan tanggungjawab mudah. Namun saya berjanji seluruh upaya dan masa akan dicurahkan agar kebajikan wanita, keluarga serta masyarakat sentiasa terbela,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam satu lagi hantaran, beliau berkongsi mengenai Mesyuarat Kabinet pertama bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan Jemaah Menteri yang lain secara maya hari ini.
“Pelbagai perkara dibincangkan bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dalam mendepani cabaran Covid-19.
“Barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu bersifat lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.
“Tanggungjawab ini akan digalas dengan komited dan lebih proaktif demi membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost