Berikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan kepada Ziyad

KERAJAAN diharap tetap mengiktiraf pencapaian Muhammad Ziyad Zolkefli dengan memberikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diperuntukkan kepada para atlet yang mengharumkan negara di persada dunia.

Perkara itu disarankan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan susulan kejayaan Muhammad Ziyad meraih emas dengan memecahkan rekod dunia acara lontar peluru F20 pada temasya Sukan Paralimpik di Tokyo, semalam.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Selangor itu kehilangan pingat emas selepas protes oleh kem Ukraine susulan dia bersama dua atlet lain dikatakan lambat memasuki bilik panggilan seelum acara bermula.

“Ziyad adalah pemenang pingat emas bagi Malaysia. Kita perlu memberi penghargaan kepada Ziyad sebagai tanda sokongan terhadap pengorbanan beliau sekian lama demi negara.

“Saya berharap Ziyad terus berjuang dan bersabar, insyaAllah selepas habisnya Paralimpik, kontinjen Malaysia akan tetap menghantar bantahan rayuan kepada penganjur atas satu keputusan tidak adil dan amat tidak mencerminkan semangat kesukanan,” kata Shahril menerusi kenyataan.

Terdahulu, rayuan Malaysia untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 semalam, ditolak dalam mesyuarat Cheif de Mission (CDM) pagi tadi.

Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga untuk meraih emas, sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.

Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik panggilan sebelum acara dimulakan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights